Selasa, Mac 15, 2011

Filem Kami.


Sudirman
Sudirman Hj Arshad (25 Mei 1954-22 Februari 1992) merupakan salah seorang penyanyi terkenal di Malaysia. Beliau telah dinobatkan sebagai Penghibur Nombor 1 Asia selepas memenangi Anugerah Penyanyi Asia tahun 1989 di Royal Albert Hall, London.

Individu serba-boleh ini telah diberi jolokan sebagai Penghibur Milik Masyarakat, Seniman Rakyat dan Elvis Malaysia. Beliau adalah penyanyi, penghibur, penggubah, peguam, penulis, pengarang (buku kanak-kanak), pelukis kartun, usahawan, dan pelakon. Selain itu, beliau telah melahirkan sebanyak 168 buah lagu.

Begitulah tanggapan yang masih melekat di minda yang bernasib baik dapat menyaksikan sendiri Sudirman secara peribadi atau melalui kaca televisyan. Gelaran peledak Cili Padi ini hanya mempunyai ketinggian 1.47 meter dan berkasut saiz 7, mengenakan pakaian biasa, solekan dan sekali-sekala mengenakan chaplinesque yang bersahaja.

Satu-satunya filem yang dilakonkan oleh Allahyarham Sudirman ialah filem Kami yang mula ditayangkan pada 27 Mei 1982. Filem ini dikeluarkan oleh Indra Film Productions and Distribution Sdn. Bhd. dan merupakan filem sulung arahan Patrick Yeoh.






Filem Kami

Kami mengangkat watak Tookoo, remaja berusia 17 tahun yang inginkan kebebasan dan mencari kehidupan sendiri. Hobinya suka menyanyi. Namun, taraf pelajaran Tookoo yang terkandas setakat darjah lima tidak menjanjikan apa-apa dalam hidupnya.

Ibunya sudah meninggal dunia, dia tinggal bersama ibu tiri dan bapanya.

Lalu, dia cuba berjuang meneruskan hidup dengan melakukan sebarang kerja yang dapat memberikannya sesuap nasi. Disebabkan tidak serasi dengan ibu tirinya, dia berhijrah ke Kuala Lumpur.

Di sana, Tookoo bertemu dengan Din, seorang kanak-kanak terbiar berusia 11 tahun yang buta huruf. Din tinggal bersama makciknya yang selalu menderanya. Oleh sebab itu, Din pun melarikan diri dan ingin mencari ibu kandungnya.

Suatu hari semasa hujan, Din minta berteduh di tempat berlindung Tookoo iaitu sebuah banglo yang ditinggalkan. Bertemu Tookoo membuatkan Din rasa dihargai meskipun pada mulanya kehadirannya kurang disenangi Tookoo. Mereka tinggal dan mencari pekerjaan bersama dalam situasi gembira malah Din menganggap Tookoo umpama seorang abang dan juga bapa bagi dirinya.

Sejak itu, Din dan Tookoo menjadi kawan baik. Di situlah bermulanya “Kami”. Pelbagai bentuk halangan dan rintangan yang mereka hadapi dalam meneruskan hidup.

Begitu pun, kehadiran pegawai kebajikan masyarakat untuk mengambil Din yang dianggap tidak memiliki keluarga menimbulkan situasi sedih keduanya. Mereka terpaksa berpisah kerana Tookoo juga beranggapan Din wajar tinggal bersama keluarga angkat untuk meneruskan persekolahannya.

Selain Sudirman Haji Arshad dan Zul Zamrin Huri, turut membintangi Kami adalah Kwee Leng (Ibu tiri Tookoo), Ibrahim Din (Mamak), Shariff Babu (Pak Du), Azmi Mohamad (Abang Husin), Azizah Muslim, Norhayati Yaacob, Param Andhi, Balakrishnan Andhi dan Ganesh Munusamy.




Penutup
Saya - secara peribadi - cukup terkesan dengan babak awal filem Kami ini. Babak Din (Zul Zamrin Huri) mengintai sayu dari jauh sambutan hari lahir seorang anak orang kaya, dan kemudiannya mengutip alat tiup permainan yang telah dibuang oleh tetamu majlis tersebut.

Pelakon utamanya, Sudirman, telah dicalonkan dalam kategori Pelakon Terbaik di Festival Filem Malaysia, tetapi tidak berjaya.

Beliau dikatakan sangat berkecil hati, kerana beliau sedaya-upaya memberikan yang terbaik untuk watak Tookoo. Beliau ingin turut dikenali dalam bidang perfileman selepas menguasai pelbagai bidang lain seperti perniagaan dan industri muzik Malaysia.

Seniman Aziz Sattar menyatakan bahawa antara faktor utama kekalahan Sudirman ialah watak Too-Koo yang kelihatan “kebudak-budakan.”

Dari sisi lain, berbekalkan bakat lakonan yang ada dalam dirinya, beliau (Sudirman) telah memegang watak utama sebagai Tookoo dengan baik dalam filem Kami, bergandingan dengan Zul Zamrin Huri. Filem ini telah memenangi Anugerah Festival Filem Malaysia ke-3 yang mana telah mengungguli kategori Pelakon Kanak-Kanak Terbaik.

Menjelang penghujung usianya, Sudirman memberitahu, beliau telah menyiapkan skrip filem “Primadona” dan bercita-cita untuk menjadi produser dan pengarahnya. Malangnya, hasratnya itu tidak kesampaian.

Al-Fatihah buat penghibur berjiwa besar ini.


Sumber:
• http://ms.wikipedia.org/wiki/Sudirman_Hj_Arshad
• seceriawarnapelangi.blogspot.com
• sinemamalaysia.com.my
• http://ramlan1984.blogspot.com/2011/02/wajah-wajah-sudirman.html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...