Khamis, Ogos 11, 2011

KENYATAAN AKHBAR - ISU PEMERIKSAAN JAIS TERHADAP GEREJA METHODIST DAMANSARA UTAMA


ISU PEMERIKSAAN JAIS TERHADAP GEREJA METHODIST DAMANSARA UTAMA: ABIM SELANGOR MENGGESA SEMUA PIHAK BERTENANG.

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) cawangan Negeri Selangor memandang serius berita tentang pemeriksaan yang telah dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap Majlis Makan Muhibah di Gereja Methodist, Damansara Utama baru-baru ini.

Pemeriksaan tersebut dimaklumkan oleh pihak berkuasa hasil daripada laporan terdapatnya unsur-unsur penyebaran agama lain kepada orang Islam yang bertentangan dengan perlembagaan Persekutuan dalam artikel 11 (4). Dalam laporan awal yang dikeluarkan pihak JAIS terdapat beberapa individu muslim menyertai majlis tersebut dan ia melanggar Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah 1995.

Justeru, Pihak ABIM Selangor menggesa semua pihak tidak membuat kesimpulan melulu dan memberikan tekanan kepada mana-mana pihak. ABIM menggesa semua pihak sewajibnya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dengan telus dan mencari kebenaran di atas peristiwa yang telah berlaku.

ABIM Selangor merasakan bahawa inilah yang sepatutnya dilakukan oleh setiap warga Malaysia dalam mana-mana pertikaian yang wujud. Mengambil pendekatan popular apatah lagi kesimpulan yang sempit terutamanya dalam hal-hal yang sangat rapuh seperti ini amat berlawanan dengan semangat kerukunan hidup dalam kepelbagaian masyarakat.

Setiap institusi penguatkuasa yang wujud perlu dihormati selama mana mereka melaksanakan tugas yang diperuntukan berlandaskan undang-undang. ABIM Selangor juga berkeyakinan bahawa pihak berkuasa bertindak mengikut saluran yang diperuntukkan oleh undang-undang. Justeru, sebarang tekanan dan campur tangan di luar skop perundangan dibimbangi akan menjejaskan proses siasatan dan usaha-usaha mencari fakta dan kebenaran dalam hal ini.

Pihak ABIM Selangor juga kesal laporan akhbar yang membangkitkan kembali isu-isu penggunaan kalimah Allah, pengeboman gereja, sekatan Injil Bahasa Melayu yang mana ianya seolah-olah membangkitkan kembali rasa ketidakselesaan beragama yang telah kita nikmati selama ini.

ABIM Selangor juga percaya sekiranya semua pihak bersikap tidak prejudis, terbuka dan yakin dengan proses perundangan sedia ada maka sebarang masalah mampu diatasi dan keharmonian hidup beragama yang dinikmati selama ini dipertahankan.

KHAIRUDIN BIN ABAS
Yang Dipertua,
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM),
Cawangan Negeri Selangor Darul Ehsan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...