Selasa, Oktober 25, 2011

Azizol Abu Haniffah: Lagenda Yang Tak Didendang



1.0. Mukadimah
Azizol Abu Haniffah merupakan bekas pemain tengah (midfielder) pasukan kebangsaan dan Perak. Beliau terkenal sebagai pemain tengah terbaik negara, sebaris dengan Shukor Salleh, Ahmad Yusof, ‘The Professor’ Nasir, Bakri Ibni, Abdah Aliff dan Allahyarham Zaid Jamil. Perak era Azizol menyaksikan skuad Kejor Yob Kejor dibarisi pemain handalan seperti P.Ravindran, Nazreen Chong, Rais Rashid, Kyi Lywn, Jang Jung, Nidzam Adzha Yusof, Shoukrat Halzimief, dan ramai lagi.

---------------------------------------------------------------------------------


2.0. Jalur Awal Kerjaya yang Cemerlang
• Mempunyai beberapa nama timangan seperti ‘Gejon’, ‘Jijon’ dan ‘Demang’, Azizol memulakan pendidikannya di Sekolah Rendah Horley Methodist, sebelum menyambung peringkat menengah di Sekolah Menengah Horley Methodist di Teluk Intan, Perak.

• Beliau mula berjinak-jinak dengan bola sepak dengan mewakili pasukan bawah 15 dan 17 tahun sekolahnya. Menjadi juara Bawah-15 tahun untuk Hilir Perak pada tahun 1980 dan melayakkan diri ke Separuh Akhir untuk Bawah-17 tahun Hilir Perak pada 1982.

• Anak kelahiran Kampung Sungai Tukang Sidin, Teluk Intan ini mula beraksi buat pasukan junior dan senior kebangsaan sewaktu hanya berusia 17 tahun.

• Beliau pernah beraksi dalam kelayakan Piala Dunia FIFA, Sukan SEA, Pestabola Merdeka, dan Sukan Asia.

• Beliau merupakan antara tonggak utama skuad negara yang memenangi pingat emas, Sukan SEA 1989.

• Pada tahun 1991, beliau telah dipilih sebagai anggota skuad “Asian Team of the Year First XI” oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

---------------------------------------------------------------------------------


3.0. Skuad Kejor Yob Kejor
3.1. “Fair Park”: Gelanggang Keramat
Skuad Kejor Yob Kejor mempunyai halamannya sendiri iaitu Stadium Perak, meskipun Azizol dan rakan-rakannya turut beraksi di Stadium Lumut yang terletak di dalam pengkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Stadium Perak turut digelar “Fair Park” memandangkan ia terletak berhampiran Fair Park di Ipoh.

---------------------------------------------------------------------------------



3.2. Lagu Penyokong Perak
Sepertimana penyokong pasukan bola sepak yang lain, penyokong skuad Seladang turut mempunyai lagu penyokongnya sendiri. Antara yang paling popular ialah lagu “Ipoh Mali”. Lagu ini mempunyai nada dan irama yang sama dengan lagu “When The Saints Go Marching In.” Terdapat pendapat yang menyatakan bahawa lagu ini menjadi popular selepas Perak memenangi Piala FA yang pertama pada 1990.

---------------------------------------------------------------------------------


3.3. Slogan ‘Kejor Yob Kejor’
Dikatakan bahawa slogan “Kejor Yob Kejor” menjadi popular selepas Perlawanan Akhir Piala FA 1990. Penyokong Selangor yang terlalu gembira selepas pasukan mereka mendahului 2-0, menyindir penyokong Perak dengan sorakan “Kejor Yob Kejor”, iaitu bagi tujuan mencabar Perak untuk “mengejar” defisit jaringan tersebut. Bagaimanapun, dikatakan juga bahawa, penyokong Perak kemudiannya menggunakan slogan tersebut sebagai kata-kata semangat buat pasukan mereka, sebelum meraikan kejayaan bersejarah, mengejar Selangor dan mendahului 4-2 pada separuh masa kedua.

---------------------------------------------------------------------------------


Azizol Abu Haniffah.
Jijon, lagenda bola sepak Malaysia. 
Stromsik cuba menyelamatkan bola daripada dirampas oleh Azizol Abu Haniffah. Turut kelihatan, A. Jayakanthan.
Aung Naing dari Myanmar, menjaringkan gol
untuk Perak FA, menewaskan Karel Stromsik, penjaga gol
Selangor dari Republik Czech, yang pernah
beraksi dalam Piala Dunia 1982. 

Turut kelihatan, Nidzam Adzha Yusoff dan Ismail Ibrahim.

4.0. Perlawanan Epik
Pada tahun 1990, beliau yang beraksi selaku ketua pasukan, membantu pasukan Seladang menjuarai Piala FA yang dianjurkan buat julung kalinya, selepas menewaskan Selangor, 4-2. Asalnya, Perak ketinggalan 0-2 pada separuh masa pertama, sebelum bangkit untuk menjulang piala tersebut. Pengurus Perak pada ketika itu ialah Dato Raja Ahmad Zainuddin bin Raja Omar (kini Naib Presiden FAM) dan jurulatih, M. Karathu (kini Datuk). Walaubagaimanapun, Selangor berjaya membalas dendam terhadap kekalahan tersebut, apabila menjuarai edisi kedua Piala FA, menerusi jaringan Ismail Ibrahim. Selangor menang 1-0.

---------------------------------------------------------------------------------


5.0. Pingat Emas Sukan SEA 1989
Azizol dan rakan-rakannya berjaya memenangi ‘ibu kepada segala pingat Sukan SEA’, iaitu pingat emas sukan bola sepak. Pasukan negara telah berjaya menewaskan musuh tradisi, Singapura sewaktu perlawanan akhir. Nama yang seringkali dikenang dalam membawa negara kepada kejayaan ini ialah Allahyarham Datuk Paduka Ahmad Basri Akil, mantan Naib Presiden FAM. Perlawanan akhir yang dianjurkan pada 30 Ogos 1989 itu dilangsungkan di Stadium Merdeka dan dihadiri oleh 45,000 penyokong bola sepak tempatan dan luar negara. Gol-gol Malaysia diperolehi menerusi jaringan sendiri Borhan Abu Samah (minit ke-8), Lim Teong Kim (minit ke-59) dan Dollah Salleh (60’). Gol tunggal skuad Singa pula dijaringkan oleh Fandi Ahmad pada minit ke-39. Pengadil pada perlawanan tersebut ialah Drs H Soetoyo (dari Indonesia). Kejayaan ini hanya dapat diulangi 20 tahun kemudiannya (2009) selepas Malaysia menewaskan Vietnam, 1-0.

---------------------------------------------------------------------------------



6.0. Perlawanan Jemputan Dunhill 1991: Malaysia lawan England
Azizol turut beraksi sewaktu skuad negara, mempamerkan persembahan hebat sebelum tewas 2-4 kepada pasukan England. Perlawanan pada 12 Jun 1991 ini dilangsungkan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Pada waktu tersebut, England yang sedang membuat persiapan untuk Pusingan Akhir, UEFA European Football Championship (Euro) ‘92 di Sweden, dikejutkan dengan persembahan hebat anak muda berusia 21 tahun dari Kota Belud, Sabah, Matlan Marjan. Kejohanan Euro ’92 yang dimenangi oleh Denmark itu berlangsung dari 10-26 Jun 1992. Gol-gol England dijaringkan oleh pemain handalan, Gary Lineker (1’), (23’), (30’), dan (70’). Sementelah, dua gol bersejarah Malaysia dijaringkan oleh Matlan Marjan pada minit ke 70 dan 76. Pengadil pada perlawanan yang dihadiri oleh kurang lebih 45,000 peminat tempatan tersebut ialah Letchumerabamy dari Malaysia).

Skuad England dibarisi oleh: Christopher Woods (Glasgow Rangers); Gary Charles (Nottingham Forest); Desmond Walker (Nottingham Forest); Mark Wright (Derby County); Geoff Thomas (Crystal Palace); Nigel Clough (Nottingham Forest); John Salako (Crystal Palace); Stuart Pearce (Nottingham Forest); David Batty (Leeds United); David Platt (Aston Villa); dan ketua pasukan, Gary Lineker (Tottenham Hotspur). Sementelahan, skuad kebangsaan dibarisi oleh: Rashid Hassan (PDRM); Serbegeth Singh (Kuala Lumpur); Lee Kin Hong; Mohammed Zaid Jamil; Arumugam Jayakanthan; Chow Siew Yai (Kuala Lumpur); Ahmad Yusof; Mohammed Nazri Nasir; Matlan Marjan (Sabah); Zainal Abiddin Hassan (Pahang); Dollah Salleh (Pahang); Khairul Azman Mohammed dan Azizol Abu Haniffah.

---------------------------------------------------------------------------------


7.0. Menjuarai Pestabola Merdeka 1993
Bersama Malaysia, Azizol berjaya memenangi Pesta Bola Merdeka edisi 1993, setelah menumpaskan bekas musuh tradisi, Korea Selatan, di mana Azman Adnan menjaringkan dua gol pada perlawanan akhir.

---------------------------------------------------------------------------------


8.0. Skandal Rasuah
Tahun 1994 menyaksikan zaman suram bola sepak tempatan dan pasukan kebangsaan, apabila deretan bintang-bintang handal negara, didapati terbabit dengan kancah rasuah ketika itu. Azizul yang didakwa terlibat, telah dikenakan hukuman buang daerah bersama pemain-pemain yang lain seperti Matlan Marjan, Karim Pin, P. Ravindran, Mohd Nazreen Chong dan lain-lain lagi. Walaubagaimanapun, para pemain ini menafikan penglibatan mereka. 

---------------------------------------------------------------------------------


9.0. Khatimah
Tuntasnya, meskipun didakwa terlibat dengan skandal mengatur perlawanan, Azizol Abu Haniffah merupakan lagenda bola sepak negara yang tidak boleh dinafikan lagi. Beliau dianggap sebagai antara pemain tengah terbaik pernah dilahirkan negara: sedari kemunculan awalnya sekitar 80an sehinggalah tahun 1994. Dengan nombor keramat iaitu ‘12’ pada jersinya - dan ketajaman penyudah - menjadikan beliau pemain yang disegani sewaktu era Liga Semi-Pro. Meskipun jasanya seringkali dinafikan oleh pihak tertentu, gelaran-gelaran seperti ‘Jeneral Padang’, ‘Arkitek Padang’ dan ‘Midfielder Terbaik di Malaysia’, menceritakan betapa besarnya nama ini di hati peminat bola sepak tanah air: Azizol Abu Haniffah.

-------------------------------------------------------------------------------

Rujukan dan Pautan:
  1. http://www.facebook.com/norazmi.mahmood;
  2. http://www.facebook.com/azizol.abuhaniffah;
  3. http://www.facebook.com/media/set/?set=a.453980207964703.115484.360654577297267&type=3;
  4. http://pafanews.com/2011/09/04/revisiting-my-football-legend-schoolmate-azizol-abu-haniffah/;
  5. http://thru-the-zuiko.blogspot.com/2010/10/zuiko-and-football-legend.html;
  6. http://www.collectsoccer.com/acatalog/England_Away_Internationals.html;
  7. http://kickbola.blogspot.com/2011/05/sabah-fa-nostalgic-hall-of-fame_17.html
  8. http://www.harimaumalaya.com/forum/index.php/topic/4-azizul-abu-hanifah/
  9. http://ms.wikipedia.org/wiki/Bola_sepak_Malaysia_1990-an;
  10. http://www.mullocksauctions.co.uk/lot-28223-1991_england_football__tour_of_australia_new_zealand.html;
  11. http://www.rsssf.com/tablesm/merdeka91.html.

16 ulasan:

  1. Salam,

    Mintak izin nak copy satu gambar azizol untuk blog saya.

    Terima kasih

    BalasPadam
  2. Informasi yang sangat berguna dan mendalam tentang Azizol.

    Syabas!

    BalasPadam
  3. Salam 'alaik, silakan. Moga ada manfaatnya, in sya ALLAH.

    Saya ada juga tulis beberapa entri berkenaan bola sepak Malaysia (Supermokh, Arumugam, Azman Adnan, dll).

    Boleh rujuk pada senarai arkib. :)

    BalasPadam
  4. ada beberapa fakta yang tak betul.

    Piala Dunia di Itali bukan pada tahun 1992, tetapi pada tahun 1990.

    Semasa perlawanan dengan England, bukannya Matlan Marjan yang jadi ketua pasukan, tetapi Ahmad Yusof.

    Mana ada kelab Inggeris yang namanya Tottenham Forest. Tottenham Hotspur adalah.

    BalasPadam
  5. Anonymous :: Terima kasih untuk teguran. Ya, akan saya perbetulkan.

    * Ada sesetangah maklumat yang saya ambil dari forum atas talian, buku nota saya sewaktu kecil dan majalah lama. Mungkin ada yang tidak berapa tepat. Berkenaan Kelab Spurs tersebut, typo.

    Maaf. :)

    BalasPadam
  6. Pendedahan Azizul yang terlalu awal diperingkat antarabangsa telah menyebabkan kita kehilangan satu permata yg tidak ternilai.Menurut Soh Chin Aun Piala Presiden Korea Selatan,Piala Raja dan Permaisuri Thai dan Piala Jakartaraya hanyalah untuk pemain2 Malaysia yang telah betul2 matang dari segi fizikal dan mental.Azizul masih terlalu muda untuk didedahkan dengan kejohanan-kejohanan tersebut di atas.Ada pihak terlalu ghairah untuk mengenengahkan beliau tanpa mengkaji faktor otot-otot Azizul yang masih terlalu muda dan belum begitu matang untuk menerima "tackles dan knocks" dari pemain-pemain dari kelab Sao Paolo atau dari pasukan dari Eropah.Kita masih tidak belajar dari ksesilapan lalu dan orang yang sama juga masih menerajui arena bolasepak kita yang mana pada skala arena bolasepak eropah atau Korea Selatan sekalipun mereka ini hanya layak digantung gambar mereka di Hall of Fame sahaja dan tidak lebih dari itu.Bila agaknya kita akan mendapat sumbangan dari Soh Chin Aun sebagai Presiden FAM dan Santokh Singh, Shukor Salleh,Namad dan Shaharuddin Abdullah, Wong Choon Wah,James Wong,Hassan Sani dal lain-lain bintang sebagai Ahli Jawatankuasa Tertinggi badan bolasepak negara.Tidak ada siapa dapat mengatasi ilmu bolasepak Franz Beckenbauer di Bayern Munich, Bobby Charlton di Manchester United, Mario Zagalo di Brazil dan Michel Plaintini di Peranchis.Sudah sampai masanya orang yang arif tentang bolasepak diberi tempat dan kaki joli dalam persatuan beransur setelah lebih dua dekad gagal membawa pasukan negara ke tahap yang setanding dengan Laos atau Papua new Guinea atau pun Burkina Faso.Kalau tak pernah dengar nama negara-negara ini maka dengan segala hormatnya diminta berundur.Sudah sampai masanya individu yang telah terbukti kebolehannya serta ilmunya di arena bolasepak seperti Franz dan Charlton diletak sebagai peneraju bukan individu-individu yang tak pernah atau tak pandai langsung menendang atau menimbang bolasepak..dan pandai menilai permata yang berkilau seperti Azizul di masa akan datang..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ya, harapan saya juga sama. Terima kasih kerana sudi berkongsi rasa. Semoga bola sepak kita terus maju dna maju lagi. :)

      Padam
    2. Apa benda boss merepek nie??? Pemain negara lain umur 18 dah main piala Dunia... Kalau setakat main piala Jakarta boss kata tak sesuai tue memang mengarut sangat boss.... Pendapat boss dah tak boleh pakai... Sorry

      Padam
  7. Saya setuju dengan pendapat Puspawangi. Bola sepak negara perlukan perubahan. Kita kena keluar dari Zon Selesa dan menerima kenyataan yang kita sudah jauh ketinggalan di bandingkan dengan Korea dan Jepun yang satu masa dahulu adalah sama.

    Tiada siapa boleh menafikan yang Malaysia kekurangan bakat kerana jika di lihat pada pencapaian di peringkat bawah 12 tahun pemain2 Malaysia seiring dan setanding dengan pemain antarabangsa.

    Tetapi bakat sahaja tidak akan ke mana jika tidak dibimbing oleh jurulatih yang berkalibar, berpengalaman, ikhlas dan amanah. Cuba kita kaji piramid ini. Instructor yang baik akan menghasilkan jurulatih yang baik, jurulatih yang baik akan menghasilkan pemain yang baik....

    Apa masalah bola sepak Malaysia sekarang? Adakah pemain kita tidak cukup baik untuk memberi saingan di peringkat antarabangsa? Jawapannya ada di atas.

    Selagi orang yang tidak berilmu, berpengalaman, tidak ikhlas dan tidak amanah menerajui bola sepak negara, selagi itu bola sepak negara malah jika di lihat dari sudut negara pun TIDAK AKAN MAJU malah menuju KERUNTUHAN.

    Mungkin ibubapa/ penjaga/ pemain, kita perlu melangkau FAM dengan terus mengeksport anak/ pemain kita yang berbakat berlatih di luar negara dengan kos sendiri bagi memastikan bakat mereka terus berkembang setaraf pemain antarbangsa.

    Lihat sudah berapa lama Sekolah Sukan Bukit Jalil di tubuhkan? Mana dia penganti Mokhtar Dahari, Soh Chin Aun... kemudahan dan kelengkapan yang canggih tidak akan menghasilkan pemain bertaraf bintang jika jurulatih dan pengurusan masaih di takut lama dan berada dalam Zon Selasa.

    Hakikatnya kita ibarat "katak di bawah tempurung dan syok sendiri" dalam menguruskan bola sepak negara.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih atas respon yang baik. Ini berbalik kepada soal profesionalisme dan keterbukaan FAM untuk menerima teguran. Perjalanan kita masih jauh (dan semakin jauh) kalau kita tidak bangkit dari sekarang.

      Padam
  8. Alhamduliah pemain lejen skuad seladang kita akan tamat penantian 20 tahun dalam hidup suspended, syukur allah betul tak che din

    BalasPadam
  9. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  10. Saya juga kagum dengan pemain ini. Dia idola semasa kecil. Terima kasih atas info mengenai beliau.

    BalasPadam

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...