Isnin, Ogos 13, 2012

Julang Panji Malaysia: Tahniah Pandalela.


Selain Olimpik 2012 di London, Pandalela juga pernah menjadi pembawa bendera Kontinjen Malaysia sewaktu Sukan Olimpik Belia 2010 di Singapura di mana beliau memenangi dua pingat perak.

****************


Gemuruh suara, jadi bangsa berjaya,
gemuruh suara, bawah satu bendera,
nama kita bina, di seluruh benua rasa bangga,
genggam amanat wira,
julang panji Malaysia.”
-- Lirik lagu ‘Gemuruh Suara’ – Team Malaysia.


****************

Julang Panji Malaysia: Tahniah Pandalela.
Pandalela Rinong Pamg, nama yang menjadi popular selepas kejayaan besar memenangi pingat gangsa dalam acara terjunan 10 meter platform (wanita). Beliau merupakan Olimpian wanita Malaysia pertama memenangi pingat dalam sejarah penyertaan negara dalam Sukan Olimpik. Untuk rekod, Olimpik 2012 di London merupakan penyertaan kedua Pandalela selepas Olimpik 2008 di Beijing. 

Pada Kejohanan Akuatik Dunia FINA 2009 di Rom, beliau meraih tempat ketiga dalam acara terjun 10 meter bersama Leong Mun Yee. Pandalela juga merupakan pemenang pingat emas sewaktu Sukan Komanwel 2010 di New Delhi bersama Mun Yee, di samping perak dan gangsa di Sukan Asia 2010 di Guangzhou.    

Pandalela, 19, merupakan Olimpian Malaysia pertama yang memenangi pingat daripada sukan selain badminton. Beliau mengumpul 359.20 mata, untuk menduduki tempat ketiga di belakang Brittany Broben (366.50) dari Australia dan jaguh China, Chen Ruolin (422.30). Pemenang emas Kejohanan Grand Prix Dunia 2012 di Kanada dalam acara terjunan 10 meter platform ini dilatih oleh Yang Zhuliang dari China.

Selanjutnya, anak Bumiputera Bidayuh, Sarawak yang lahir pada tanggal 2hb Mac 1993 ini berjaya membantu kontinjen Olimpik 2012 di London, untuk menyamai rekod terbaik Malaysia di Sukan Olimpik 1996 di Atlanta, dengan satu emas dan satu gangsa. Pingat perak Olimpik 2012 di London diperolehi oleh jaguh terbilang badminton negara, Dato’ Lee Chong Wei yang tewas selepas melalui perlawanan getir dengan Lin Dan.

Tahniah, Pandalela. Semoga kejayaan beliau menjadi pembakar semangat kepada rakyat Malaysia, untuk tidak cepat mengaku kalah. Tatkala kes ‘kerat-potong Johari Pain’ masih menjadi topik perbualan hangat penghuni Facebook dan Twitterjaya, saya serahkan kepada pembaca budiman untuk menilai, sama ada Projek ‘Road to London 2012’ yang menelan belanja RM20 juta merupakan perbelanjaan yang membuahkan hasil bermanfaat ataupun sebaliknya. 

Apa pun, syabas buat semua atlit dan kontinjen Malaysia yang bertungkus-lumus mengharumkan nama negara di mata dunia. Semoga sukan negara akan terus maju dan maju lagi hendaknya.

Hidup Malaysia kita.

***********************


Entri-entri berkaitan:
***************************************************

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...