Khamis, Februari 07, 2013

Belasungkawa: Allahyarhamhu Haji Mohd Isa bin Abd Razak.






Assalamualaikum.
Saya dengan rendah hati memohon jasa baik Tuan/Puan/sahabat semua untuk sedekahkan Al-Fatihah sekudusnya buat sahabat saya yang budiman, Tuan Haji Mohd Isa Abd Razak yang telah selamat dikebumikan pagi tadi. Allahyarhamhu merupakan seorang pejuang tulen bahasa dan sastera Melayu.
Allahyarhamhu Mohd Isa bin Abd Razak pernah dikenali dengan nama pena Rasmi Safar, Isa Razak, Cikgu Isa dan beberapa nama pena lain secara bermusim, khususnya dalam komunikasi maya. Beliau lahir pada tahun 1952 di Kampung Permatang Pasir, Linggi, Negeri Sembilan. Beliau menghabiskan usia mudanya di luar Negeri Sembilan, iaitu dua tahun di Kedah, tiga tahun di Pulau Pinang dan hampir 30 tahun di Sabah.
Beliau menghasilkan sebuah novel pada tahun 1974 dan beberapa buah cerpen sejak 1972 hingga 1979. Pada tahun 1973 cerpennya memenangi hadiah pertama peraduan menulis cerpen Badan Bahasa Sabah (BAHASA) Cawangan Tawau. Dua buah cerpennya termuat dalam dua buah antologi yang berasingan. Satu antologi terbit pada tahun 1979 dan satu lagi terbit pada tahun 1980. Selain itu, pada tahun 1970-an dan 1980-an dia menulis makalah, puisi dan pelbagai karya untuk akhbar dan radio.
Pada tahun 60-an, 70-an dan awal 80-an, media cetak yang pernah menyiarkan karyanya ialah Utusan Malaysia, Utusan Zaman, Berita Harian, Berita Minggu, Bintang/Mingguan Timur, Harian Ekspress, Sabah Times, Sinar USIA, Dewan Pelajar, dan Pemimpin. Apabila beliau kembali berkarya mulai tahun 2009, media yang sudah menyiarkan karyanya ialah Berita Harian, Dewan Bahasa, Pelita Bahasa, Dewan Pelajar, Dewan Masyarakat, Dewan Sastera dan Dewan Budaya.
Catatannya “Keakraban, Kejeleketan dan Dedikasi Warga Bukit Langsat” termuat dalam buku Jubli Perak IPG Kampus Keningau (2010). Terkini, dua catatan dan satu eseinya dimuatkan sebagai bab ke-19 dalam buku Pengajaran dan Pembelajaran Berkesan, Buah Fikir Guru Cemerlang terbitan MDK Intelek Enterprise, 2011. 
Antara cita-cita Allahyarhamhu yang belum menjadi kenyataan ialah merealisasikan Kelab Kembara Bahasa ke alam nyata. Beliau mempunyai impian untuk menempah baju kemeja dengan logo kelab tersebut, jadi meminta saya mereka satu logo untuk kelab tersebut. Allahyarhamhu seorang yang mesra, meski wajahnya serius. Saya sangat mengkagumi kemampuan beliau menulis pengalamannya sepanjang mengajar di kepulauan Borneo.
Kelab Kembara Bahasa ditubuhkan untuk mengangkat martabat bahasa Melayu. Bahasa perantaraan yang digunakan dalam semua wacana yang dikirimkan oleh anggota kumpulan ke laman ini ialah bahasa Melayu. Bahasa lain hanya boleh digunakan sebagai petikan, contoh atau data untuk perbincangan. Ragam bahasa yang digunakan pula hendaklah ragam bahasa rasmi, bukan ragam bahasa pertuturan sehari-hari.
Sedikit tulisan Allahyarham boleh dibaca di sini: http://mohdisa-abdrazak.blogspot.com/.
Semoga kepulangan beliau ke kampung asal, menjadi peringatan yang baik untuk kita semua. Semoga ALLAH SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarhamhu. Al-Fatihah sekudusnya, buat pejuang tulen bahasa dan sastera Melayu: Allahyarhamhu Tuan Haji Mohd Isa Abd Razak. 
.

2 ulasan:

  1. salam
    saya khadijah aminah bt md yusoff mempunyai urusan berkenaan manuskrip arwah. bagaimana saya ingin menghubungi waris beliau? encik ada contact number anak atau isteri beliau?

    BalasPadam
  2. mohon hubungi saya sekiranya mempunyai maklumat diatas.. 0341451991

    BalasPadam

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...