Khamis, Februari 28, 2013

Selangor Juara Piala FA 2001.


2001: Nidzam Jamil (Selangor) cuba 
menyekat pemain Kuala Lumpur, Yaakob Iris. 
Selangor Juara Piala FA 2001(10hb Jun 2001)

Selangor merangkul kejuaraan bola sepak Piala FA buat kali ketiga sejak kempen ini dipertandingkan pada 1990, selepas menewaskan Sarawak 1-0 pada perlawanan akhir yang mendebarkan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini. Bermain di hadapan kira-kira 50,000 penonton, sebahagian besarnya penyokong Merah Kuning, perlawanan akhir edisi ke-12 itu dipisahkan dengan jaringan emas pemain pertahanan, D. Surendran pada minit ke-109 masa tambahan sudden death.

Gol berpunca daripada hantaran ke tengah pemain sayap kanan, Mohd. Shawal Johadi yang ditanduk masuk oleh Surendran menewaskan penjaga gol Sarawak, Mohd. Azley Abdullah.

Ia adalah kemenangan ketiga untuk Selangor selepas merangkulnya pada 1991 dan 1997. Ia juga penampilan kali keempat pasukan Merah Kuning dalam perlawanan akhir pertandingan ini yang bermula pada 1990.

Perlawanan terpaksa dilanjutkan ke masa tambahan sudden death selepas kedudukan masa penuh terikat tanpa jaringan biarpun kedua-dua pasukan galak menyerang ke kubu lawan masing-masing. Begitupun, perlawanan akhir agak tercemar sebaik tamat masa penuh permainan apabila penonton mula membakar mercun. Bagaimanapun, tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Perlawanan masa tambahan pula terpaksa dimulakan sedikit lewat apabila pegawai perlawanan terpaksa membersihkan tepi padang yang dipenuhi dengan objek-objek yang dilempar penonton. Biarpun tiada sebarang jaringan dilakukan oleh kedua-dua pasukan sepanjang 90 minit permainan, aksi yang dipamerkan agak menarik dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan.

Pasukan Red Giants yang dibimbing jurulatih, Abdul Rahman Ibrahim meletakkan tiga penyerang di depan _ Rusdi Suparman, Mohd. Nizaruddin Yusof dan Yusri Che Lah yang lebih bertindak selaku pemain penyerang bahagian tengah. Bagaimanapun, barisan pertahanan pasukan Bujang Senang pimpinan Abdul Jalil Rambli lebih kental mengekang asakan pasukan ‘tuan rumah' yang memiliki kelebihan bermain di hadapan penyokong sendiri.
  • SELANGOR: Azmin Azram Aziz, B. Rajinikandh, Khairil Zainal, Shamsul Amri Abu Bakar, Nor Suhaimi Bahaudin, D. Surendran, Asmawi Bakiri (Khairun Haled Masrom), Jaafar Salleh (Mohd. Amri Yahya), Yusri Che Lah, Mohd. Nizaruddin Yusof, Rusdi Suparman (Mohd. Shawal Johadi).
  • SARAWAK: Mohd. Azley Abdullah, Jeffry Untam, Mohd. Nazri Yunos (Abang Mohd. Zafari), Mohd. Zaidil Sakup (Samsul Napiah), Dahlan Matusin, Mohd. Ali Sapiee, Gilbert Cassidy Gawing, G. Muthu (Bobby Pian), Ramos Sari, Ramles Sari, Abdul Halim Jantan.
  •  

***********************************************************
Sumber dan Rujukan:
  1. http://sarawakfootballshirts.blogspot.com/2008/07/2001-fa-cup-final-gk-replica-shirt.html;
  2. http://myfcf.blogspot.com/;
  3. http://www.utusan.com.my/utusan/
  4. www.nst.com.my/;
  5. Majalah Arena Bola Sepak.
     

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...