Jumaat, Mac 29, 2013

Wacana PRU 13: Aplikasinya Menerusi Perspektif Fiqh Politik Islam.

Logo Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
Logo Nadwah Ilmuwan Malaysia.
Logo Kolej Dar al Hikmah (KDH).
Poster Wacana Nadwah Ilmuwan Siri ke-11.
-Wacana Nadwah Ilmuwan siri ke-11-
PRU 13: Aplikasinya Menerusi Perspektif Fiqh Politik Islam.
1.0. Pendahuluan.
Pada 27hb Mac 2013 (Rabu), 8.30 malam, satu wacana besar bertajuk ‘Wacana PRU 13: Aplikasinya Menurut Fiqh Politik Islam’ telah dianjurkan oleh Nadwah Ilmuwan Malaysia di Dewan Besar, Kolej Dar Al-Hikmah (KDH), Sungai Ramal Dalam, Kajang, Selangor Darul Ehsan. ‘Nadwah Ilmuwan’ ialah sebuah projek keilmuan bagi menjana dan mengembangkan ilmu pengetahuan berteraskan Islam kepada masyarakat. Matlamat penubuhannya adalah untuk menjalankan kegiatan penyelidikan, pendidikan, penerbitan dan latihan dalam pelbagai bidang persoalan keilmuan Islam. Nadwah Ilmuwan dibangunkan secara bersama oleh pertubuhan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM). 

Ustaz Hasri, Exco ABIM sebagai Pengerusi Majlis.
Prof Redzuan menyampaikan ucapan alu-aluan.
 
Dr Razak Idris selaku moderator, mengiringi para panelis untuk bersedia sebelum memulakan wacana.
2.0. Ucapan Alu-Aluan oleh Pengerusi Nadwah Ilmuwan Malaysia, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman.
Pengerusi majlis pada malam tersebut ialah Exco Dakwah dan Tarbiyyah ABIM, Ustaz Hasri Harun, manakala Dr Razak Idris, mantan Presiden ABIM, menggalas tanggungjawab selaku moderator. Pengerusi Nadwah Ilmuwan Malaysia, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman selanjutnya memulakan program pada malam tersebut dengan ucapan aluannya yang membekas. Beliau melontarkan beberapa persoalan seperti apakah ‘kedudukan kerajaan interim (caretaker government) itu sah’ dan ‘adakah umat Islam boleh mengundi calon bukan Islam’. Prof Redzuan turut menyatakan hasrat Nadwah Ilmuan untuk menganjurkan wacana seperti ini dengan lebih kerap. Selain menghebahkan kepada hadirin – secara ringkas – berkenaan fungsi dan peranan Nadwah Ilmuwan, beliau turut memaklumkan berkenaan matlamat wacana kesebelas ini, iaitu – antara lain -- untuk mencari jawapan kepada persoalan-persoalan yang menyelubungi amalan Fiqh politik semasa umat Islam. 

Prof Madya Dr Mohammad Kamil Abdul Majid.
 
Prof Kamil sewaktu sesi soal-jawab bersama hadirin di KDH.
3.0. Pandangan Pensyarah Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Prof Madya Dr Mohammad Kamil Abdul Majid.

Prof Kamil menegaskan bahawa mengundi itu wajib hukumnya, namun ia bukan satu kefardhuan bagi setiap umat Islam kerana langkah itu bagaikan satu kesaksian syahadah. Sehubungan itu kata beliau, bukan setakat mengundi bahkan menyertai pilihan raya dan bertanding untuk membentuk kerajaan juga adalah wajib. Menurut Prof Kamil, mencari pemimpin berkualiti itu mestilah seseorang yang bersifat ‘qawiyyul amin’: mempunyai rohani dan jasmani yang kuat serta bersifat amanah. Beliau menekankan peranan besar pemimpin dalam menyantuni kebajikan rakyat dengan menggunakan analogi ‘wali dan anak yatim’, di mana pemimpin dikehendaki bersifat seperti ‘wali’ dalam menjaga kebajikan rakyat ‘seolah-olah rakyat itu adalah anak yatim’ yang mempunyai kedudukan yang besar dalam Islam.

Selanjutnya, Prof Kamil yang mempunyai kepakaran dalam bidang sosiologi Islam, teologi Islam dan pemikiran Islam, juga menggariskan 20 ciri utama yang perlu diberi perhatian oleh pengundi Islam bagi memilih bakal pemimpin yang akan membentuk kerajaan baru nanti. “Pemimpin yang nak dipilih mestilah berakal, bijaksana, berani, bersih, pemurah, berlapang dada, bukan pemarah, seorang yang pemaaf bukan dendam, lemah-lembut dan budiman, menepati janji dan jujur. Selain itu, mestilah boleh menyimpan rahsia, cekal hati, strategi, pandai tawar-menawar, bukan hasad dengki, bersyukur, bukan bernafsu, tidak menjadikan orang kafir sebagai penasihat, bertujuan berpolitik bukan cari keuntungan dan kemudahan diri sendiri serta jaga keadilan dan kebenaran,” katanya lagi.

Selain daripada itu, Prof Kamil menyatakan bahawa konsep ‘wasatiyyah’ dan ‘maslahah’ perlu diimbangi dan dipelihara bagi mengelak kemudaratan. Prof Kamil menyeru agar politik liar seperti ugutan diketepikan dan sebaliknya menggesa agar para ahli politik menjual idea secara harmoni. Beliau juga menasihatkan para pengundi agar menjalankan solat istikharah sebelum membuang undi dan meminta parti-parti politik mengadakan pertemuan muhibah usai setiap PRU bagi memelihara keharmonian negara.

Prof Kamil dilahirkan pada tahun 1950 di Kampung Kayu Rindang, Melor, Kota Bharu, Kelantan. Lulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-undang daripada Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK), dan Sarjana Muda Syariah daripada Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir. Keserjanaannya dalam bidang falsafah dan Teologi Jabatan Pengajian Islam, Universiti Malaya dan bidang Pemikiran Islam (Kerohanian) bagi Ijazah Doktor falsafah, di Universiti Malaya. 

Dalam pentadbiran akademik, Prof Kamil pernah memegang jawatan Timbalan Dekan (Usuluddin), Ketua jabatan (Dakwah dan Pembangunan Insan) dan Timbalan Pengarah (Hal Ehwal Pelajar di Akademi Pengajian Islam) dan pernah membentang kertas-kertas kerja di dalam dan luar negara. Beliau pernah menjadi Anggota Ulama, Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) dan Ahli Panel Kajian Akidah JAKIM. Juga terlibat dengan peristilahan (agama) Dewan Bahasa dan Pustaka. Dalam bidang penerbitan, beliau menghasilkan lebih 10 buah buku di samping artikel dalam jurnal tempatan dan antarabangsa.

Beliau yang mempunyai pengalaman bergiat dalam PKPIM dan ABIM, menyentuh berkenaan kepentingan ahli politik untuk menjaga adab dan etika ketika berkempen. Beliau turut mengimbau bagaimana dalam ucapan dasar Muktamar Agung PAS ke-12 pada tahun 1964, Allahyarham Dr Burhanuddin Al-Helmi, Yang Dipertua Agung PAS ke-3 mengatakan Almarhum Tunku Abdul Rahman pernah memuji mantan Timbalan Yang Dipertua Agung Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Prof Dato’ Dr Zulkifli Muhammad sebagai ‘Pahlawan Demokrasi’. 

Tegasnya, seseorang pemimpin yang mahu dipilih nanti perlu menjaga agamanya daripada diperlekehkan, mempertahankan diri dan nyawa supaya tidak melayang begitu sahaja, berkeupayaan menjaga harta benda dan membelanjakannya secara halal dan memelihara maruah nasab keturunan umat Islam. Prof Kamil menegaskan bahawa sebanyak mana pun kitab yang kita pelajari, kita perlu memahami dan menguasai waqi’ atau realiti semasa.

Ustaz Zaharuddin Abd Rahman.
 
Pandangan Ustaz Zaharuddin antara yang menjadi tumpuan pada malam tersebut.
4.0. Komentar Presiden Multaqa Asatizah dan Du’at (Murshid), Dr Zaharuddin Abd Rahman.

Dalam pada itu, Ustaz Zaharuddin berkata, seseorang pemimpin negara yang hendak dipilih bukan sahaja baik agama dan solatnya malah kemahiran mentadbir dan mewujudkan hubungan dengan rakyat juga perlu dimiliki jika ingin terus terlibat dalam politik. Ustaz Zaharuddin yang juga mantan Presiden PMIUM sesi 1999/2000 dan pernah menjadi Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Selangor, menekankan bahawa tahap pendidikan dan populariti tidak menjamin kejayaan bagi seseorang calon dalam pilihanraya. 

Beliau juga menasihatkan para ahli akademik yang tidak sanggup berdepan sepak-terajang politik, agar memahami ‘bahasa masyarakat’ dan berfikir sedalam-dalamnya sebelum terjun ke dalam bidang tersebut. “Kalau tak tahan maki, jangan masuk politik di Malaysia,” katanya.

Ustaz Zaharuddin dikenali sebagai seorang pendakwah yang mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang Syariah, kewangan dan perbankan Islam. Beliau memegang Ijazah B.A. (Hons) dalam bidang Usuluddin daripada Universiti Malaya; M.A, Syariah (Hons) daripada Universiti Al-Yarmouk, Jordan; Ph.D, Syariah dan Kewangan Islam daripada Universiti Wales, United Kingdom dan Ijazah Ilmiah dari Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi. Beliau bertugas selaku Pensyarah Kanan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia; Profesor Madya di The Markfield Institute of Higher Education, United Kingdom; Ahli Panel Kajian Syariah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Ahli Majlis, IIUM Institute of Islamic Banking & Finance (IIiBF).

Ustaz Siddiq Fadzil, murabbi umat.
Ustaz Siddiq Fadzil sewaktu menyampaikan buah fikirnya.
5.0. Ulasan Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah), Datuk Dr Siddiq Fadzil.

Sementara itu, Ustaz Siddiq Fadzil menyifatkan arena politik mula berubah kepada sistem dua parti sejak PRU 2008 lagi. “Orang mengundi berkirakan aspek ‘public virtues’ (nilai-nilai kebaikan awam), tidak lagi terikat kepada politik perkauman. Rakyat mahukan politik integriti, politik berprinsip, politik idealisme, politik nilai dan bukan politik perkauman,” katanya. Integriti, politik prinsip dan politik idealism juga semakin diambil peduli oleh masyarakat terbanyak dalam meletakkan sikap dan sokongan. 

Malah katanya, pihak pemerintah tidak sewajarnya mempersoalkan hak rakyat untuk menukar kerajaan, apatah lagi menakut-nakutkan pengundi daripada memilih parti yang mereka kehendaki. Rakyat, menurut Ustaz Siddiq, merupakan sumber kekuatan ahli politik dan pemimpin. Seterusnya, Ustaz Siddiq menegaskan bahawa sistem pilihan raya adalah jaminan peralihan kuasa dengan aman dan damai. 

Ustaz Siddiq Fadzil telah terlibat sebagai seorang aktivis semenjak zaman pelajar sehinggalah beliau memimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) sebagai Presiden ketiga (1982-1991). Setelah meraih ijazah Sarjana Muda Sastera, Kepujian Kelas Pertama (1974), beliau menyertai Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi sebagai tutor dan melanjutkan pengajian ijazah keduanya di universiti yang sama sehingga berjaya meraih Sarjana Persuratan (M.Litt.) pada tahun 1978. 

Pada tahun 1989, beliau menjadi penerima pertama ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) dari Institut Bahasa Kesusateraan dan Kebudayaan Melayu pada tahun 1989. Tesis beliau yang bertajuk ‘Pemikiran Barat Moden – Sikap Para Cendekiawan Muslim Dengan Tumpuan di Alam Melayu’ telah menyediakan suatu landasan yang baik bagi beliau mendalami dan menerajui kepakaran bidang yang dipilih. 

Semuanya ini disalurkannya melalui kursus-kursus yang diajar semasa berada di UKM iaitu; ‘Pengenalan Persuratan Melayu’, ‘Metodologi Penyelidikan’, ‘Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu’,Islam dan Modenisme di Alam Melayu serta Kesusasteraan Tradisional Nusantara’. Beliau juga terlibat dalam penyeliaan di peringkat pasca-siswazah dan pernah mengajar kursus seperti ‘Falsafah dan Pemikiran Melayu’, ‘Sastera Kanon Melayu’ (Malay Canon) dan ‘Sastera Sufi’.

Dr Aznan Hasan.
Pengerusi Majlis Ulama Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Dr. Aznan Hasan, turut menyuarakan pandangannya sewaktu wacana tersebut.
 
Dr Razak, Prof Kamil, Ustaz Zaharuddin dan Ustaz Siddiq.
Sebahagian daripada hadirin sewaktu wacana Nadwah Ilmuwan ke-11 di KDH.

Nota.
6.0. Kesimpulan.
Mudahnya, sesi wacana ini memperlihatkan kekuatan ulama’ dan rakyat yang semakin matang dalam dalam mencari jawapan kepada persoalan-persoalan yang menyelubungi amalan Fiqh politik semasa umat Islam. Wacana ini telah meluaskan horizon dan mendalamkan kefahaman terhadap dasar-dasar politik Islam (siyasah syar’iyyah), asas memilih calon, hukum-hakam berkaitan pilihan raya, isu calon bukan Islam dan memahami realiti beriringan dengan memahami teori.

----------------------------------------------------------------------
Rujukan dan Pautan:
  1. http://www.facebook.com/ABIMPUSAT?ref=ts&fref=ts;
  2. www.sinarharian.com.my/politik/wacana-pru13-mengundi-itu-wajib-pilihan-hak-pengundi-1.143615;
  3. http://zulkiflihasan.wordpress.com/2013/03/28/memahami-fiqh-demokrasi-dan-kaitannya-dengan-pru13/
  4. http://www.facebook.com/fadhlinasidek.sidek.

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...