Isnin, April 21, 2014

Wacana Siasah ABIM: Erdogan dan Masa Depan Turki.


Logo 
Presiden ABIM:
Cikgu Haji Amidi Abdul Manan.
Wacana Siasah ABIM: Erdogan dan Masa Depan Turki.
18hb April 2014: Alhamdulillah, pada hari Jumaat yang lepas, telah berlangsung sebuah majlis ilmu iaitu ‘Wacana Siasah Kali Ke-3’ dengan tajuk “Erdogan dan Masa Depan Turki”. Dua orang pembentang telah diundang untuk program kali ini iaitu Prof. Dr. Mohammad Redzuan Othman [Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya, Universiti Malaya (UMCEDEL) dan Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM] dan Tuan Haji Ahmad Azam Ab Rahman [mantan Presiden ABIM, Timbalan Presiden WADAH Wadah Pencerdasan Umat (WADAH) dan Penolong Setiausaha Agung Kesatuan NGO Islam Sedunia (UNIW)].
Program ini telah dianjurkan di Kolej Daral-Hikmah (KDH), Jalan ABIM, Sungai Ramal Dalam, Kajang. Selangor, secara bersama oleh Akademi Pendidikan Demokrasi & Kewarganegaraan; WadahPencerdasan Umat (WADAH); Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM); dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).
Tuan Haji Azam menyatakan bahawa tahun 2013 adalah waktu getir utk AKP, di mana terdapat dua cubaan untuk menggulingkan Erdogan. Namun, cubaan itu berjaya dipatahkan walaupun terpaksa membuat tindakan tidak popular seperti menutup laman ‘Twitter’ dan ‘Youtube’ untuk beberapa ketika. Selain itu, hubungan dengan pihak pemerintah dengan Fethullah Gulen berada pada tahap yang terburuk. Erdogan secara terang-terangan mengkritik Fethullah Gulenn, malah ada usaha untuk mengekstradisi beliau dari Amerika Syarikat.
Dewasa ini, menurut Tuan Haji Azam, hanya Turki yang dilihat terkehadapan dalam memperjuangkan isu umat Islam seperti di Palestin, Syria dan Rohingya. Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) pula dilihat seperti sudah ‘koma’ dan tidak boleh berbuat apa-apa.
Turki juga, menurut beliau, bersendirian dalam menghadapi Barat, bilamana Negara-negara Islam lain tidak membantu; malah negara-negara Arab menghulurkan bantuan pula kepada Barat dalam menjatuhkan kerajaan Erdogan. Selanjutnya, Tuan Haji Azam menyebut bahawa beliau percaya sesiapa yang menguasai Istanbul atau Rom akan mengusai dunia.
Terdapat lebih daripada 150 juta manuskrip Kerajaan Uthmaniah yang belum diterjemah. Hal yang demikian, Tuan Haji Ahmad Azam menyatakan bahawa para ahli jemaah WADAH-ABIM-PKPIM harus mengambil penangjawaban untuk belajar di sana dan menguasai bahasa Turki.
Tuan Haji Azam turut menekankan berkenaan misi ‘Biz mir ummati’ iaitu kepentingan memberdaya dan memperkasa wadah pemersatu umat demi membawa semula kegemilangan Islam.
Sementara itu, Prof. Dr. Mohammad Redzuan Othman mengulas bahawa kebiasaannya, di negara-negara Islam, parti sekular adalah pro-Barat dan parti Islam anti-Barat. Akan tetapi, di Turki keadaannya terbalik: parti Islam lebih cenderung kepada Barat dan mahu masuk ke dalam Kesatuan Eropah (EU), manakala parti sekular sangat anti kepada Barat.
Beliau juga menerangkan bahawa parti sekular terpecah kepada dua iaitu befahaman ‘Republikan’ dan ‘Demokrat’ (dalam bentuk pelbagai parti). Parti-parti sekular ini mempunyai banyak perbezaan fahaman serta enggan bekerjasama antara satu sama lain. Kerana sebab itulah parti berhaluan Islam seperti AKP berjaya membentuk kerajaan. Sokongan kepada parti sekular adalah kuat di bahagian pantai manakala bahagian pedalaman pula adalah kubu kuat parti Islam di Turki. AKP tidak memerintah dengan majoriti lebih 50 peratus, hanya disebabkan dua parti besar lain tidak dapat bekerjasama.

Semoga lebih banyak program bermanfaat seperti ini dapat terus dianjurkan lagi di samping mendapat sambutan yang baik para pencinta kebenaran dan ilmu. Amin dan in sya ALLAH. Bersama menegakkan kebenaran dan memperjuang keadilan. Biz bir ümmetiz. Padu.
-------------------------------------------------
Sumber:
  1. https://www.facebook.com/fazril.saleh.3?fref=ts;
  2. https://www.facebook.com/cikguainaa?fref=ts;
  3. https://www.facebook.com/mohdsyazwan2011?ref=ts&fref=ts;
  4. https://www.facebook.com/ABIMPUSAT?fref=ts;
  5. https://www.facebook.com/NurjannahKeman?fref=photo.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...