Khamis, Julai 17, 2014

New Zealand Juarai Pestabola Merdeka 2000.

New Zealand Juarai Pestabola Merdeka 2000.
Edisi ke-36 Kejohanan Pestabola Merdeka Malaysia telah berlangsung dari 13hb-19hb Ogos 2000. Hanya empat buah pasukan yang bertanding iaitu skuad senior Malaysia, skuad Bawah-22 Tahun Malaysia, Oman serta New Zealand.
Skuad Malaysia Bawah-22 Tahun dilatih oleh Allan Harris, dan dibarisi oleh: Jamsari Sabian, Faziallah Mamat, Subri Sulong, S. Jayaprakash, M. Karunakaran, Nazrul Erwan Makmur, Mohd Nizam Jamil, Syukor Adan, Mohd Syaiful Sabtu, Hasmawi Hassan, Liew Kit Kong, Hairuddin Omar, V. Saravanan, Nor Suhaimi Bahauddin, dan Irwan Fadzli Idrus.
Pada 13hb Ogos 2000, skuad Malaysia B-22 telah tewas, 0-1 kepada Oman, tatkala New Zealand seri, 0-0, dengan skuad senior Malaysia. Kemudian, pada 15hb Ogos 2000, New Zealand mengalahkan Malaysia B-22, 3-0. Oman pula tumbang, 0-2 kepada Malaysia hasil jaringan Anuar Jusoh pada minit ke-53 dan Rusdi Suparman pada minit ke-84.
Selanjutnya, pada 17hb Ogos 2000, Oman tewas, 0-1 kepada New Zealand. Sementelah, Malaysia menang, 3-1 ke atas Malaysia B-22. Gol-gol skuad senior Malaysia disumbangkan oleh: S. Sivaram (16’), R. Sureshkumar (65’), dan Ooi Hoe Guan (89’). Gol saguhati Malaysia B-22 pula dijaringkan oleh Leong Hon Seng (75’).
Pada 19hb Ogos 2000, Malaysia berdepan cabaran New Zealand dalam perlawanan akhir. Edisi ke-36, Pestabola Merdeka tidak memihak kepada Malaysia apabila tewas 0-2 kepada New Zealand pada perlawanan akhir di Stadium Merdeka. Meskipun memberi saingan sengit pada kedua-dua babak permainan, skuad bimbingan Haji Abdul Rahman Ibrahim gagal mengekang jaringan Ryan Nelson pada minit ke-15 dan Paul Urlovic minit ke-37 dalam perlawanan dihadapan kira-kira 6,000 penonton. Kedua-dua gol New Zealand dicipta hasil kelalaian benteng pertahanan skuad negara, yang terlalu banyak memberi ruangan kepada barisan serangan New Zealand untuk bergerak bebas di dalam kotak penalti.
New Zealand membawa pulang hadiah wang tunai AS$50,000 (RM150,000) selaku juara manakala Malaysia meraih AS$30,000 (RM114,000). Permulaan babak pertama kelihatan seimbang tetapi Malaysia terlebih dahulu menyerang ke kubu lawan. Anuar Jusoh membuat percubaan rendah di hujung kotak penalti pada minit ketujuh tetapi bola terkena badan pemain New Zealand, Scott Smith.
New Zealand membalas empat minit kemudian menerusi gerakan dari sebelah kanan oleh Noah Hickey dan dia berjaya melepasi kawalan B. Rajnikandh untuk meluru ke depan tetapi sepakannya melambung.
Malaysia mengatur serangan tetapi pergerakan Rusdi Suparman dan Mohd. Nizaruddin Yusof terbatas. Kawalan longgar pertahanan skuad negara jelas memberi ruang kepada barisan serangan New Zealand dan kelalaian mereka dihukum menerusi jaringan pembukaan pasukan lawan pada minit ke-15. Ryan Nelson langsung tidak dikawal ketika melonjak tinggi untuk menanduk masuk bola sepakan sudut Jeff Campbell untuk kedudukan 1-0.
Namun, Malaysia hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-28 menerusi gerakan cantik satu-dua Nizaruddin dan Rusdi tetapi tendangan penyudah Rusdi pula tersasar dari tiang gol ketika penjaga gol, Ross Nicholson sudah tertewas. Sekali lagi kelekaan benteng skuad negara dihukum apabila New Zealand membuat serang balas yang pantas dan Paul Urlovic berjaya mengatasi Rajnikandh dan Khairil Zainal serta penjaga gol, Kamarulzaman Hassan untuk jaringan kedua pada minit ke-37.
Rusdi mendapat peluang terbaik di depan pintu gol pada minit ke-60 tetapi sepakannya melambung atas palang. Kemasukan Bobby Pian menggantikan Nizaruddin, 10 minit sebelum tamat permainan tidak mampu mengubah kedudukan.
Sementara itu, jurulatih New Zealand, Ken Dougdale gembira dengan kejayaan pasukannya. “Kami menghadapi kesukaran pada babak pertama kerana Malaysia sering mengasak dalam kawasan gol. Malah kami juga bernasib baik kerana dapat bertahan meskipun Malaysia banyak mendapat set-piece menerusi tendangan sudut dan tendangan bebas,” kata Dougdale. Beliau berharap pasukannya diundang lagi pada kejohanan akan datang.
Jurulatih negara, Haji Abdul Rahman pula berkata, Malaysia kalah kepada pasukan yang lebih bagus dengan pendekatan taktikal yang lebih baik. “Sebelum ke sini, mereka sudah menentang pasukan seperti Brazil dan Jerman. Ini pendedahan peringkat tertinggi untuk barisan pemain negara,” kata Rahman.
  • MALAYSIA: Kamarulzaman Hassan, B. Rajinikandh, Khairil Zainal, Bahtiar Othman, Ramos Sari (Ooi Hoe Guan), Rosdi Talib, Ahmad Shahrul Ahmad Sofian, Anuar Jusoh, R. Suresh Kumar (Ahmad Shahruddin Rosdi), Mohd. Nizaruddin Yusof (Bobby Pian), Rusdi Suparman.
  • NEW ZEALAND: Ross Nicholson, Scott Smith, Gerard Davis (Gerard Rowe), Cris Zoricich, Sean Douglas, Graham Pierce, Ryan Nelson, Jeff Campbell, Noah Hickey (Jeremy Brown), Paul Urlovic, Chris Killen (Bradley Scott).
----------------------------------------------------------------------

Sumber dan rujukan:
  1. Akhbar Utusan Malaysia;
  2. Akhbar NST;
  3. Majalah Arena Bola Sepak;
  4. http://malaysiafootball-dimos.blogspot.com/2008/10/jadual-pestabola-merdeka-2008.html;
  5. https://www.facebook.com/ghaniroquai?fref=ufi;
  6. https://www.facebook.com/jabal.noor.9?fref=ts;
  7. http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0627&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz37m7VKyYo
  8. http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0622&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm;
  9. http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0624&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm;
  10. http://malaysiafootball-dimos.blogspot.com/2008/10/jadual-pestabola-merdeka-2008.html.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...