Selasa, Februari 17, 2015

Al-Fatihah: Kami semua sayang Tok Guru.

 

Almarhum Ustaz Nik Abdul Aziz Nik Mat merupakan anak kedua daripada perkahwinan Tok Guru Haji Nik Mat Alim (Tuan Guru Haji Nik Mat) dengan isteri pertama; dilahirkan pada tahun 1931 dan diberi nama ‘Nik Abdul Aziz’. Anak kelahiran Kampung Pulau Melaka ini membesar dalam suasana keluarga dan rumahtangga yang sederhana dan mengecapi zaman kanak-kanak seperti kanak-kanak lain.
Angkatan sepermainannya mengakui bahawa beliau seorang yang lemah-lembut, mudah bertolak ansur dan begitu disayangi oleh rakan-rakannya. Beliau berkahwin dengan Tuan Sabariah Tuan Ishak dan memperolehi 10 cahaya mata (5 lelaki dan 5 perempuan).
Kesemua anak-anaknya mengambil jurusan agama sebagai pilihan utama. Anak-anak beliau adalah: Nik Aini; Nik Umar; Nik Adli; Nik Abdul Rahim; Nik Mohamad Abduh; Nik Adilah; Nik Mohamad Asri; Nik Amani; Nik Amalina; dan Nik Asma’ Salsabila.
Beliau menguasai bahasa Melayu, Inggeris,Tamil, Urdu, dan Arab. Antara pengalaman pendidikan beliau termasuklah: Sekolah Kebangsaan Kedai Lalat (3 Bulan) – 1936; Sekolah Pondok Tok Kenali Kubang Kerian; Sekolah Pondok Tok Guru Haji Abbas Besut, Terengganu; Universiti Deobond, India – 1952; Lahore, Pakistan – Ilmu Tafsir Quran – 1957; Universiti Al-Azhar, Mesir – Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab; dan Universiti Al-Azhar, Mesir – Sarjana Perundangan Islam.
Antara pengalaman pekerjaan beliau pula adalah: Guru Sekolah Menengah Agama Tarbiyyah Mardiah, Panchor; Guru Sekolah Menengah Agama Darul Anwar, Pulau Melaka; Penyelia Kelas Dewasa – KEMAS; dan Guru Sekolah Menengah Maahad Muhammadi, Kota Bharu.
Berikut merupakan catatan ringkas pengalaman Ustaz Nik Aziz dalam bidang politik: 1967 – Daftar sebagai ahli PAS; 1967-1969 -Pilihanraya Kecil – Ahli Parlimen Kelantan Hilir; 1969-1974 - Ahli Parlimen Kelantan Hilir; 1974-1978 - Ahli Parlimen Kelantan Hilir. (Kawasan ini ditukar nama kepada Parlimen Pengkalan Chepa); 1978-1982 – Ahli Parlimen Pengkalan Chepa; 1982-1986 - Ahli Parlimen Pengkalan Chepa; 1986-1990 – Ahli Dewan Undangan Negeri Semut Api Kelantan; 1990-2013 – Menteri Besar Kelantan.

Sekerap yang boleh, beliau akan menjadi imam Subuh dan memberi tazkirah. 40% daripada gaji beliau digunakan untuk parti PAS di Kelantan. Rumah beliau dekat tepi masjid dibuat daripada kayu dan tangga dari simen, tiada batu marmar, mozaik atau hiasan yang mahal-mahal. Rumah beliau tidak berpagar tiada pengawal dan tiada orang gaji pun. Siapa-siapa boleh masuk kalau mahu berjumpa dengan beliau.
Seorang yang warak dan zuhud, sejak dulu, elaun rumah, elaun keraian, elaun buka puasa malah elaun hari raya pun tidak pernah beliau ambil. Beliau berpesan kepada semua ahli-ahli exco yang terpilih supaya tidak menerima sebarang bentuk hadiah daripada sesiapa pun kerana hadiah itu berkemungkinan adalah berupa sogokan atau rasuah yang boleh menyebabkan korupsi.
Pada tahun 2008, Gerakan Rakyat Anti Korupsi (GERAK) telah menganugerahkan beliau sebagai Menteri Besar yang memiliki rekod paling bersih di Malaysia. Anugerah itu diberikan sebagai menghargai usaha beliau menentang gejala rasuah sepanjang mentadbir Kelantan selama hampir 18 tahun. Pada tahun 2009 pula, beliau diletakan diantara 50 tokoh Islam berpengaruh didunia dan disenaraikan dalam buku berjudul “The 500 Most Influential Muslims”.
Akhbar Cina menyebut Allahyarham sebagai ‘Yi Tai Zhong Si’ atau ‘Tok Guru Sepanjang Zaman’. Begitu tinggi penghormatan untuk Mursyidul Am Pas itu. Nyata, ramai yang menyenanginya, tanpa mengira latar kaum dan faham politik.
Selamat pulang, duhai pejuang. Kami semua sayang Tok Guru.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...