Jumaat, Ogos 14, 2015

MAT SENTOL DAN MAT LE SAUX.

MAT SENTOL DAN MAT LE SAUX.
Bertepatan dengan tema 'wira yang tidak didendangkan', beberapa hari yang lepas admin RBS berpeluang untuk 'sembang teh tarik' bersama dengan lagenda perfileman tanahair, Abdul Rasip Yahya atau lebih dikenali sebagai Mat Sentol. Sebagaimana P.Ramlee mewujudkan jenama 'Bujang Lapok' ke dalam setiap hati rakyat Malaysia, Pak Mat turut mencipta jenama beliau sendiri dengan filem-filem bertemakan 'Mat' antaranya Mat Tiga Suku, Mat Karung Guni, Mat Magic serta Mat Bond.
Generasi 90an mungkin lebih mengenali beliau melalui iklan 'jajan' di kaca TV. "Tora Datang Lagi!" Suara ikonik tersebut pasti melekat di setiap hati kanak-kanak ketika itu. Maka dipujuklah ayah dan ibu ke kedai untuk mendapatkan permainan terbaru dari Tora. Tetapi, sumbangan Mat Sentol lebih dari itu. Kepada peminat filem sejati, beliau bagaikan 'Georges Méliès Malaysia', 'Cinemagician' yang menerapkan unsur efek khas di dalam karya beliau.
Beliau merekacipta banyak montaj untuk 'kredit pembukaan' filem antaranya filem Lanchang Kuning, Mata Shaitan, Mat Bond serta Naga Tasik Chini. Beliau adalah 'man of vision', selalu bereksperimen dengan kesan-kesan khas serta mencuba pelbagai kelainan dalam setiap filem beliau. Kadangkala plot filem beliau sukar difahami, namun jika kita mendalami filem-filem sezaman dengan filem-filem beliau, ia adalah satu bentuk sindiran masyarakat sebagaimana filem-filem Tan Sri P.Ramlee.
Mungkin ramai yang tidak perasan, penampilan pertama Mat Sentol adalah sebagai penari di dalam Filem Hang Tuah lakonan Tan Sri P.Ramlee (babak Joget Pahang kalau tak silap). Menurut anak beliau, Kasma Booty dan AR Tompel mengesan bakat beliau sementara P.Ramlee dianggap sebagai mentor. Lagenda melahirkan lagenda.
Alhamdulillah, secara fizikal Pak Mat masih kuat berjalan lagi. Masih lagi 'mengeteh' di Plaza Larkin bersama rakan-rakan. Cuma ingatannya sudah tidak macam dahulu, maklum lah sudah berusia 82 tahun. "Sedih kalau bercakap pasal umur ni. Tua dah", ujar Pak Mat.
Tidak banyak yang beliau sembangkan, sebaliknya saya banyak berbual bersama Makcik Jamilah, isteri kepada Pak Mat. Beberapa tahun dahulu, beliau pernah meluahkan hasrat untuk kembali ke bidang pengarahan filem, tetapi dengan keadaan kesihatan beliau sekarang, hasrat tersebut mungkin tidak akan menjadi kenyataan.
Beliau hanya bercerita tentang anak-anak, jiran-jiran tetangga, serta kawasan setempat. Dalam usia selewat beliau, mungkin isu-isu politik atau hiburan tidak lagi menjadi perhatian. Tambah-tambah lagi bila ramai rakan seperjuangan beliau telah tiada.
Beliau hanya termenung panjang bila admin berbicara tentang filem. Namun di sebalik wajahnya yang serius itu, keluar juga 'punchline' sepatah dua. "Jangan makan kuih raya banyak-banyak. Kuih raya kalau makan lepas raya boleh buat mabuk," ujar beliau berseloroh.
"Pak Mat takde masuk TV lagi?"
"Bukan takde, tapi...."
Beliau terdiam sepi, datang Makcik Jamilah mencelah, "ada, tapi dapat penat je."
"Dah pencen ke Pak Mat?" Tanya saya.
" TV panggil, diorang bayar RM300. Transport, makan, tempat tidur semua sendiri. Kadang-kadang keluar lagi duit sendiri. Takpe lah."
Sayu dalam hati ini. Kalau di luar negara, seniman-seniman veteren ni akan dibayar lagi mahal. Pak Mat yang sudah bertaraf lagenda ini cuma dibayar RM300. Betul. Beliau adalah orang yang tidak meminta-minta, tidak mintakan perhatian, tetapi hargailah beliau seperti mana status beliau. Lagenda bang. Lagenda.
Saya cepat-cepat kalis ke isu lain bagi mengelakkan suasana menjadi 'sedih'. Suatu perkara yang mencuit hati, beliau bercerita tentang 'orang besi buruk' yang datang dari rumah ke rumah membeli besi buruk dan beliau masih menggelarkan mereka sebagai 'Orang Karung Guni'.
Beliau memang seorang yang rendah diri dan tidak meminta-minta. Tetapi hargailah beliau semasa beliau masih ada. Jangan lah masa beliau dah tiada, baru kita sibuk nak 'tribute itu, tribute ini'. Dah terlambat. Sebagaimana terlambat kita menghargai Tan Sri P.Ramlee.
Jika segala banyak artis-artis dari seberang, artis muda yang entah apa sumbangannya boleh diberi pelbagai darjah kebesaran, kenapa seniman sebegini kita pinggirkan?
Kami di RBS ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas kesudian keluarga Pak Mat melayani kunjungan kami. Juga terima kasih tidak terhingga buat anak Pak Mat (yang juga salah seorang 'follower' RBS) kerana mengaturkan pertemuan kami. Kami di RBS mendoakan Pak Mat sihat sekeluarga dan diberkati Allah sehingga ke akhir hayat.
Retro Bola Sepak: Siapa boleh senaraikan semua filem dalam siri 'Mat'?
.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...