Selasa, Oktober 06, 2015

PRESIDEN ABIM ADAKAN KUNJUNGAN HORMAT KE ATAS YAYASAN KARYAWAN.


PRESIDEN ABIM ADAKAN KUNJUNGAN HORMAT KE ATAS YAYASAN KARYAWAN.
6hb Oktober 2015 (Selasa): Alhamdulillah, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Saudara Raimi dan Setiausaha Agung ABIM, Saudara Faisal Aziz berkesempatan mengadakan kunjungan hormat ke atas Datuk Zainal Abidin Borhan, Ketua Eksekutif, Yayasan Karyawan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur.
Dalam pertemuan tersebut, Datuk Zainal berkongsi pandangan serta penjelasan berkenaan usaha penerbitan sejumlah karya agung Nusantara dalam bahasa Melayu, ketika Yayasan Karyawan berada di bawah teraju Allahyarhamhu Datuk Hasan Ahmad.
Antaranya termasuklah Bustan al-Katibin, Cerita Jenaka Melayu, Cerita Penglipur Lara, Hikayat Abdullah, Hikayat Aceh, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Inderaputra, Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Panji Jayeng Kusuma, Hikayat Pocut Muhamat, Hikayat Raja Pasai, Kitab Pengetahuan Bahasa, Pantun Melayu: Bingkisan Permata, Sulalat al-Salatin, Syair Ken Tambuhan, Tuhfat al-Nafis, Undang-undang Melaka dan Undang-undang Laut, Pengenalan Konsep dan Gagasan Karya Agung Yayasan Karyawan serta Prosiding Persidangan Antarabangsa Karya Agung Melayu.
Banyak naskah besar ini asalnya tersimpan di negara Eropah seperti di United Kingdom dan Rusia. Justeru, usaha ini adalah penting bagi memastikan ianya tidak terkubur serta diselewengkan keasliannya. Ramai pengkaji luar yang begitu menghargai karya-karya ini. Di Rusia misalnya, satu tesis telah dihasilkan dengan tajuk “Sulalat-us-salatin: Krusenstern’s Malay Manuscript, Its Cultural and Historical Value’”.
Sebagai contoh, Karya Agung Hikayat Misa Melayu karangan seorang bangsawan dan sejarawan Istana Perak abad ke-18, Raja Chulan yang telah tersimpan lama di Cambridge University Library (MS Or. 832) sejak 1909. Antara yang diriwayatkan adalah tentang sistem ekonomi, struktur politik dan pentadbiran kerajaan beraja Perak, sistem perundangan, salasilah dan jurai keturunan, adat istiadat dan bentuk kesenian yang wujud pada zaman sejarawan agung tersebut.
Hikayat ini bukan semata riwayat persejarahan Melayu tetapi ia adalah lambang yang bermakna bagi orang Melayu dan merupakan warisan bangsa yang mewakili akal budi rakyat Perak khususnya dan Alam Melayu amnya. 
Semoga kita semua lebih menghargai serta memartabatkan karya serta bahasa kita. Bahasa jiwa bangsa.
Ayuh; sejahterakan Malaysia dengan dakwah.
:)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...