Rabu, September 30, 2015

PANJANG UMUR; JUMPA LAGI.

PANJANG UMUR; JUMPA LAGI.
Singgah rumah Abg Johari Yop; pengumpul keratan serta artikel lama bola
sepak Malaysia.
Macam-macam ada. Keratan khazanah yang langka belaka.
Terima kasih, Abg Jo; sebab sudi pelawa datang ke rumah dan hidang minum petang.
Ada rezeki - panjang umur; jumpa lagi.
In sya ALLAH.
.

Selamat Pengantin Baru, Akmal dan Fatini.


Selamat Pengantin Baru, Akmal dan Fatini.
Alhamdulillah, kebetulan nak balik kampung mertua di Taiping, singgah ke majlis perkahwinan sahabat di UiTM, Akmal dan pasangannya, Fatini.
Majlis berlangsung di Ipoh.
Tahniah buat kedua mempelai. Semoga kita semua berbahagia – dalam naungan redha ILLAHI.
Barakallahulakuma wa baraka 'alaikuma wa jama'a bainakuma fi khair.
:)

.

Selasa, September 29, 2015

Pilihan Selangor lawan South American All Stars (Disember 1983).

Logo skuad Biru-Emas dan Merah-Kuning.
Piyapong Pue-On, lagenda Thailand yang
pernah beraksi sebagai pemain import untuk  Pahang FA.
Selain beraksi untuk Jemputan Selangor menentang Boca
Juniors, beliau turut beraksi untuk Pilihan Selangor
sewaktu menentang Groningen FC (Belanda).




Pilihan Selangor lawan South American All Stars (Disember 1983).
Pada Februari 1984, Supermokh bersama beberapa orang pemain telah menyertai sebuah perlawanan kontroversi. Akibatnya, 8 orang pemain (lima orang daripadanya pemain Selangor) di dalam skuad kebangsaan tersebut digantung oleh FAM, kerana menyertai perlawanan jelajah Asia yang tidak mendapat keizinan daripada FIFA.
Perlawanan tidak diiktiraf oleh FIFA tersebut ialah antara Pilihan Selangor menentang Bintang Amerika Selatan (South American All Stars) pada 10hb dan 20hb Disember 1983. Pasukan luar tersebut dibintangi antaranya oleh Paulo Isidoro de Jesus dan Alberto Santelli.
FIFA telah mendenda FAM sebanyak RM60 ribu (sesetengah akhbar melaporkan denda sebanyak 50 ribu Swiss francs), manakala FAM pula mendenda FAS sebanyak RM30 ribu. FIFA juga menggantung lapan pemain Malaysia yang terlibat selama 3 bulan, iaitu Santokh Singh, Zainal Abidin Hassan, Soh Chin Aun, R. Arumugam, Azizol Abu Haniffah, Lim Teong Kim, Wong Hung Nung dan R.Gunasekaran.
Supermokh bersama dua pemain undangan Selangor, Piyapong Pue-On dan Ronnie Pattinasarany (Ronald Hermanus Pattinasarany, meninggal dunia pada 19hb September 2008) bagaimanapun dilaporkan tidak dikenakan sebarang tindakan.
Presiden FAM ketika itu, Tan Sri Hamzah Abu Samah (yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia) dilaporkan mengambil keputusan untuk melantik peguam bagi menyelesaikan masalah tersebut, sehingga mendapat perhatian Setiausaha Agung FIFA, Joseph Blatter. Hal ini berikutan Jawatankuasa Disiplin FIFA telah menolak rayuan awal FAM, sehingga menyebabkan FAM berniat untuk membawa kes tersebut ke mahkamah.
Legenda negara, Mokhtar Dahari menyatakan kekesalannya di atas hukuman yang dikenakan terhadap para pemain utama Malaysia tersebut. Beliau berpandangan bahawa penggantungan tersebut meranapkan peluang negara untuk layak ke Sukan Olimpik. Beliau juga merasakan bahawa para pemain sekadar bertindak di atas arahan pegawai FAS; tanpa mengetahui bahawa perlawanan tersebut tidak diiktiraf oleh FIFA.
Mereka tidak dapat beraksi dalam pusingan kedua kelayakan Pra-Olimpik, tetapi skuad Selangor melawat ke Los Angeles sebagai ganjaran memenangi Liga dan Piala Malaysia. Lawatan ke Los Angeles tersebut menyebabkan Santokh terlepas peringkat pertama latihan bersama skuad kebangsaan untuk Pestabola Merdeka 1984, dan tidak cergas untuk menyarung jersi kebangsaan.
Tindakan para pemain Selangor seperti Santokh Singh, R. Arumugam, Lim Teong Kim, Wong Hung Nung, K. Gunasegaran, dan Razali Alias yang mengikuti rombongan selama 12 hari itu, sekali lagi mengundang kontroversi kerana ramai yang mempertikaikan ketiadaan mereka sepanjang sesi awal latihan untuk Pestabola.
Skuad kebangsaan kemudiannya menjalani perlawanan persahabatan di Dubai, UAE, sebelum menghadapi Korea Selatan dalam kelayakan Piala Dunia pada 10hb Mac 1985. Selain Selangor, skuad Pahang FA juga telah diberikan ganjaran melancong ke Los Angeles, Amerika Syarikat di atas pencapaian mereka selaku Naib Juara Piala Malaysia 1984.
Frank Lord (yang membimbing pasukan kebangsaan dari 1983-85) membawa Malaysia ke Pusingan Akhir Asia-Oceania selepas mendapat tempat kedua dalam Kumpulan 3 yang turut melibatkan Arab Saudi, India, Singapura dan Indonesia. Dengan 12 mata, Malaysia berjaya menewaskan Singapura 2-0; Indonesia 2-0; dan Singapura 1-0; selain turut mencatat seri serta kekalahan kepada pasukan Arab Saudi.
Dengan kehilangan beberapa bintang utama, skuad kebangsaan bergantung harap kepada dua penjaring terbanyak liga iaitu Yunus Alif dan Zainal Abidin Hassan.
Bagaimanapun, Malaysia gagal layak ke peringkat seterusnya, selepas hanya menduduki tempat keempat, daripada kumpulan yang mengandungi lima negara iaitu Iraq, Thailand, Jepun dan Qatar. Malaysia menewaskan Jepun 2-1, tetapi hanya mempu seri 0-0 dengan Thailand dan tewas dalam kesemua perlawanan lain.
Dengan hanya mengutip 3 mata, Malaysia gagal mengulangi pencapaian cemerlang layak ke Sukan Olimpik Munich 1972 dan Sukan Olimpik Moscow 1980 (tetapi menarik diri atas sebab boikot). Dan, ketika Sukan Olimpik 1984 sedang berlangsung di mana Tan Sri Hamzah masih berada di L.A, akhbar mula melaporkan berita berkenaan kesediaan DYMM Sultan Pahang untuk menggantikan beliau sebagai Presiden FAM.

Los Angeles 1984.
Dirasmikan oleh Presiden Ronald Reagan, Sukan Olimpik LA 1984 membuka lembaran baru sukan dunia, apabila penganjurannya tidak menggunakan dana daripada negeri mahupun kerajaan, buat kali pertama sejak 1896. Sekumpulan jutawan yang dikenali sebagai Los Angeles Olympic Organising Committee (LAOOC) berjaya mengaut keuntungan sebanyak USD223 juta. Keuntungan tersebut banyak diperolehi hasil hak penyiaran televisyen.
Bermula daripada inilah, bidaan untuk menganjurkan Sukan Olimpik dan temasya sukan lain menjadi semakin sukar, mahal dan mendapat saingan sengit daripada pelbagai negara. Namun, edisi kali ini dicemari dengan kempen boikot oleh Soviet Union, mengingatkan ramai pihak kepada pemulauan Sukan Olimpik Moscow 1980 (yang diketuai oleh Amerika).
China, buat kali pertama sejak 1932, menyertai Sukan Olimpik kali ini, menongkah arus dengan tiadak mengikuti tindakan Soviet, Jerman Timur, Cuba dan 14 buah negara lagi yang memboikot temasya 1984 itu. Iran dan Libya memboikot Olimpik kali ini atas sebab berbeza.  
Selain itu, terdapat juga surat layang yang mendakwa akan berlaku serangan pengganas oleh Ku Klux Klan kepada Malaysia, Sri Lanka, China, Zimbabwe dan Korea Selatan. Surat itu ditulis dalam bahasa Inggeris, tetapi menggunakan tatabahasa serta lenggok bahasa yang kurang tepat.
Malaysia menghantar kontijen kecil ke Sukan Olimpik Los Angeles 1984, iaitu sejumlah 21 orang atlet  sahaja. Temasya tersebut berlangsung dari 29hb Julai hingga 12hb Ogos 1984.  
Hoki mendominasi kontinjen dengan 16 orang pemain. Olahraga (Batumalai Rajakumar dan Nordin Mohamed Jadi), Renang (Wanita - Helen Chow), Menembak (Sabiahmad Abdullah Ahad), dan Basikal (Rosman Alwi) masing-masing diwakili oleh para atlet negara yang berjasa.
Pasukan Hoki menduduki tempat ke 11 daripada 12 pasukan, selepas menewaskan Amerika Syarikat dalam perlawanan penentuan. ‘Chef de Mission’ pada ketika itu ialah Tunku Adnan bin Tunku Besar Burhanuddin. Pembawa bendera ialah Sabiahmad Abdullah Ahad (Menembak), di mana bendera diserahkan di Kuala Lumpur oleh Encik Anwar Ibrahim (kini Dato' Seri).
Meskipun dibarisi para pemain yang berbakat dan berpengalaman, Malaysia gagal mencapai impian untuk membuat kejutan. Great Britain yang menggantikan Rusia, menjadi buah mulut apabila memenangi pingat gangsa. Terdahulu, sebelum berlangsungnya Olimpik, Persekutuan Hoki Malaysia (MHF) dilaporkan telah menolak jemputan oleh Persekutuan Hoki Padang Amerika Syarikat untuk bertanding dalam Kejohanan Pra-Olimpik di sana.
Ramai pemerhati berpandangan bahawa kita sepatutnya menerima undangan tersebut, bagi membolehkan skuad kebangsaan menyesuaikan diri dengan suasana di A.S serta keadaan padang di East L.A College. Malaysia diberikan harapan besar kerana memenangi pingat gangsa dalam Sukan Asia New Delhi 1982.
Atlet Hoki negara ketika itu ialah:  Ahmad Fadzil,  Colin Santa Maria,  Foo Keat Seong,  Jagjit Singh,  Kevin Nunis,  Michael Chew,  Ow Soon Kooi,  Poon Fook Loke,  S. Murugasen,  Stephen Van Huizen, Sarjit Singh, Sukhvinderjeet Singh,  Tam Chew Seng.  Soon Mustafa,  Yahya Atan, dan Zulkifli Abbas.
Atlet termuda Malaysia ketika itu ialah Helen Chow yang baru berusia 18 tahun, manakala Poon Fook Loke yang berusia 33 tahun muncul selaku atlet paling senior negara dalam temasya besar itu.
Atlet Basikal negara, Rosman Alwi berjaya mendapat tempat ke-23 keseluruhan, daripada 33 orang pelumba – meskipun menggunakan basikal lama (dan agak ketinggalan dari segi model berbanding basikal pelumba lain), dan menggunakan duit sendiri untuk membeli rangka basikal berharga RM800. Beliau dilaporkan tersilap taktik ketika bersaing di Velodrom State University of California, menurut jurulatihnya, Bohamil Pavlicek.
Zola Budd, pelari kelahiran Afrika Selatan yang mewakili Britain dan gemar berkaki ayam, telah bertembung dengan pelari kegemaran Amerika, Mary Decker, sehingga menyebabkan Decker terjatuh dan tersembam. Zola di‘boo’ ketika meneruskan larian, dan akhirnya hanya mampu mendapat tempat ketujuh. Beliau kemudiannya didapati tidak bersalah. Sementara itu, 12 atlet telah disingkirkan daripada Olimpik 1984 kerana terlibat dengan penyalahgunaan dadah. 
-----------------------------------------------------
Sumber dan rujukan:
  1. https://www.facebook.com/komikklasik.madi?fref=photo;
  2. https://www.facebook.com/rithsidek?fref=ufi;
  3. https://www.facebook.com/ahmadjohari.yeopaziz?fref=ts;
  4. https://www.facebook.com/norazmi.mahmood?fref=ts;
  5. http://tigerkiing94.blogspot.my/2013_02_01_archive.html.
  6. http://keehuachee.blogspot.my/2012/08/maaysia-at-olympics.html;
  7. http://www.nib.com.my/cross-search/search/_1443534250/?;
  8. http://www.gettyimages.fi/detail/news-photo/heiner-dopp-of-west-germany-chases-the-ball-as-a-malaysia-news-photo/1215687;
  9. https://www.youtube.com/watch?v=8R8qkzZRK4M;
  10. https://www.youtube.com/watch?v=1jUGZDQWr_w;
  11. https://www.youtube.com/watch?v=vJrbsFnnmaM.

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...